DIPLOMA PENDIDIKAN PRA-SEKOLAH PENGAMBILAN PELAJAR 2013...JANGAN LEPASKAN PELUANG KEEMASAN INI, Program lain dah ramai..!! PELUANG KERJA YANG LUAS DALAM KERAJAAN DAN SWASTA!!!

Thursday, March 29, 2012

Semua guru Tabika Kemas miliki diploma 2015


KOTA KINABALU 29 Okt. - Dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan prasekolah, kerajaan menyasarkan kesemua guru taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara memiliki diploma menjelang 2015.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, setakat ini seramai kira-kira 2,000 daripada 9,824 guru Tabika Kemas telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma.

"Dalam hubungan ini kita bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk mempastikan tenaga guru kita dapat ditingkatkan keupayaannya. Jadi untuk murid-murid tabika mendapat ilmu pengetahuan mencukupi, kita perlu mempunyai tenaga guru berkebolehan dan berkeupayaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 Jabatan Kemas Negeri Sabah di Dewan Saadah Wisma Majlis Ugama Islam (MUIS) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kemas, Hassan Mohd. Amin dan Pengarah Kemas Negeri, Anisah Saidin. Pada majlis itu, seramai 94 warga kerja Kemas Sabah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Menurutnya, pada masa ini guru-guru Tabika Kemas dihantar menjalani kursus dalam cuti di institusi perguruan di seluruh negara. Dalam pada itu beliau berkata, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pendidikan prasekolah kementerian itu telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.

"Pada tahun ini sasaran 9,816 kelas Tabika Kemas telah berjaya dicapai sejak Julai lalu dengan bilangan kanak-kanak seramai 215,834 orang. Selain itu, menjelang 2015 kesemua guru-guru tabika dijangka bergred S27," ujarnya. 


Guru Tabika Kemas boleh lanjut pelajaran ke institusi pengajian tinggi

PUTRAJAYA 9 Jan. - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan menjalinkan kerjasama dengan institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dalam usaha mempertingkatkan kemahiran guru-guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas tidak lama lagi.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kerjasama itu bagi membolehkan tenaga pengajar Tabika Kemas yang sedia ada melanjutkan pengajian di peringkat diploma atau yang lebih tinggi di IPT terbabit.

"Kita sedang meneliti beberapa IPT awam dan swasta yang program diplomanya telah mendapat pengiktirafan pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Buat masa ini, kita ada hantar guru-guru Tabika ke institut perguruan di bawah Kementerian Pelajaran dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk melanjutkan pengajian mereka ke peringkat diploma," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Sehingga hujung tahun lalu, tenaga pengajar di Tabika Kemas adalah 9,541 orang dan daripada jumlah itu, seramai 726 yang memiliki diploma.

Dalam tempoh yang sama, Kemas mempunyai sejumlah 8,816 kelas Tabika di seluruh negara dan seramai 200,417 kanak-kanak mengikuti pendidikan prasekolah itu.

Mohd. Shafie memberitahu, walaupun sebahagian besar guru Tabika itu masih belum memiliki diploma tetapi mereka mempunyai sijil asas pendidikan awal kanak-kanak.

"Tetapi menjelang tahun 2015, kita mahu semua guru Tabika berkelulusan diploma kerana sasaran kita adalah setiap kelas Tabika yang mempunyai 15 hingga 25 kanak-kanak dikendalikan oleh seorang guru bertaraf diploma," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, selain meningkatkan jumlah pengambilan guru-guru baru yang berkelulusan diploma, pihaknya akan menghantar lebih ramai tenaga pengajar sedia ada yang belum mempunyai diploma menjalani kursus diploma di institut perguruan bawah Kementerian Pelajaran.

"Tahun ini sahaja kita menyasarkan untuk memperoleh lebih kurang 2,000 guru Tabika Kemas yang memiliki diploma," katanya.

Buka 2,000 lagi tabika: Kemas sasar 40,000 kanak-kanak 03/11/2011 

LEDANG 3 Nov. – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menyasarkan 40,000 kanak-kanak menyertai kelas anjuran agensi itu melalui pembukaan 2,000 buah kelas taman bimbingan kanak-kanak (tabika) sepanjang tahun ini dan tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pembukaan kelas berkenaan menjadikan jumlah kelas tabika Kemas meningkat kepada 10,816 buah di seluruh negara yang boleh menampung 240,000 orang kanak-kanak luar bandar pada akhir tahun depan.

"Pembukaan kelas-kelas itu sekali gus memberi peluang pekerjaan baru kepada 5,000 orang generasi muda yang berkelayakan di luar bandar termasuk di perkampungan Orang Asli di pedalaman,” katanya dalam ucapan penutupan Hari Potensi Kemas peringkat kebangsaan, di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Hassan Malek dan kira-kira 2,000 kanak-kanak tabika mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang dipertandingkan sempena Hari Potensi berkenaan. – Bernama


RM100j untuk perkasakan Tabika Kemas 

PUTRAJAYA 10 Nov. — Kerajaan memperuntukkan hampir RM100 juta bagi memperkasakan sistem pembelajaran dan kemudahan di semua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) pada tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, peruntukan di setiap negeri akan diberi mengikut keadaan di tempat berkenaan termasuk kemudahan asas yang sedia ada.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvokesyen Diploma Perguruan Malaysia Pendidikan Awal Kanak-kanak Tabika Kemas dan penyampaian watikah pelantikan Guru Taska Permata Kemas di sini hari ini, Shafie berkata, peruntukan itu melibatkan RM76 juta bagi program Bantuan Makanan Tambahan, multivitamin, bengkel keibubapaan dan promosi makanan sihat.

"Di peringkat asas ini, perlu kita lahirkan keadaan di mana anak kecil dapat makanan sihat. Ia bukan sahaja dapat membentuk tubuh badan, tetapi juga otak yang subur,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM21 juta lagi akan digunakan untuk membeli pakaian, buku-buku, alat pengajaran dan pembelajaran serta lawatan pendidikan. - Bernama

01/04/2007
Guru Kemas lulusan diploma menjelang 2010

Oleh: ZULKIFLI MANZOR

KUALA LUMPUR 31 Mac – Semua guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) di bawah kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara akan memiliki sekurang-kurangnya kelulusan di peringkat diploma menjelang tahun 2010.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, pada masa ini hanya 30 peratus daripada 8,300 guru Tabika Kemas yang mempunyai kelulusan tersebut. ‘‘Kemas mengambil langkah bijak dengan menghantar tenaga pengajar mereka mengikuti kursus Diploma Pendidikan PraSekolah di maktab-maktab perguruan bermula tahun lalu.

‘‘Kursus tersebut memerlukan masa selama tiga tahun dan sembilan bulan untuk menghabiskannya. Oleh itu, kita percaya Kemas akan mencapai sasaran kesemua guru tabika memiliki diploma menjelang tahun 2010,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis perarakan Kanak-Kanak Tabika Kemas sempena sambutan Maulidur Rasul 1428 HI 2007 anjuran Kemas Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Pada 28 Disember 2005, Kemas mengumumkan langkah untuk menaikkan taraf tenaga pengajar tabika mereka di seluruh negara dengan menghantar guru-guru tersebut mengikuti kursus peringkat Diploma Pendidikan PraSekolah.

Kursus selama enam bulan itu dijalankan di maktab-maktab perguruan bermula Mei 2006 lalu bertujuan mempertingkatkan kemahiran guru Kemas menjalankan tugas dengan lebih berkesan.

Selain itu, Zainal menambah, Kemas juga akan membina 305 buah bangunan tabika baru pada tahun ini sebagai tambahan kepada 8,300 tabika sedia ada selain turut menyasarkan pembinaan lebih 1,300 buah bangunan baru menjelang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9). ‘‘Ia bertujuan mengatasi masalah sesetengah Tabika Kemas yang terpaksa menumpang di balai raya atau bangunan kerajaan lain,’’ jelasnya.

Sebagai contoh, kata Zainal, pada ketika ini, Tabika Kemas Wilayah Persekutuan mempunyai seramai 5,031 murid, tetapi bangunan untuk belajar hanya ada 208 buah.

No comments:

Post a Comment